Oh, tajuk entriku kali ini.
Dalam minggu sebelum minggu terakhir Februari ni, dah dua filem aku pra-tonton (ehsan Movie Addict) dan kedua-duanya merupakan debut sutradaranya. Filem pertama ialah Adiwiraku iaitu arahan dan tulisan bersama Eric Ong yang ditayangkan pada 9 Mac dan filem yang aku nak ulas sekarang ni, Pak Pong pulak arahan, tulisan, serta lakonan Fauzi Nawawi yang keluar pada 23 Februari. Walaupun aku tengok Adiwiraku dulu pada 20 Februari dan ada sedikit reviu pada dasarnya, Pak Pong yang keluar dulu. Maka ulasan penuh nilah yang korang akan baca dulu. Sumpah aku tak tergerak hati nak tengok pun filem ni; yang ada cuma rasa nak tergelak ja tengok poster dan trelernya. Mujurlah tiket dapat percuma! Yah-hoi!
Macam mana aku nak mula, ek? Baiklah. Katanya filem ni 6 tahun dalam pembikinan (penulisan skrip dalam setahun, pembikinan termasuk pra-produksi, produksi dan pasca-produksi dalam 5 tahun). Sebelum ni, depa ada rilis footage yang telah memberikan penonton feel yang ada dalam filem ni. Para pembikin seperti nak kata depa nak jadikan Avatar arahan James Cameron sebagai inspirasi dunia fantasinya, manakala Lord of the Rings pulak sebagai konsep bagi babak perlawanannya dan rangka bagi sekuel-sekuel yang nak dirancang (KAH!). Satu tu pun takde feel yang dipetik tu. Sebenarnya nampak mengarah kepada Game of Thrones dalam pengaruh dadah (maksud aku dari segi kecelaruannya yang terlalu mudah tapi bapak trigger-happy pengarahnya bila dok shooting filem ni). 6 tahun, ya? Hm. Oh ya, reviu ni TAKDE SPOILER. Kalau dah bosan sangat, meh baca apa aku fikir pasal Pak Pong ni.
Muda (Hairul Azreen) ialah seorang suami kepada seorang isteri (Marsha Milan). Nak dijadikan cerita, isteri dia yang sarat mengandung mengidam ayam hutan. Entah macam mana, bersama abangnya Kadek (Bard), diorang boleh pulak menggatal nak cari Pak Pong, kitab "ilmu pengasih" yang katanya boleh menguatkan kasih sayang sesama manusia (kalau korang faham maksud aku) dalam usaha mendapatkan ayam hutan tu (hah?). Entah macam mana lagi, Muda tercampak ke dunia bunian dan meninggalkan kampungnya di mana dia terpaksa bekerjasama dengan Raja Bunian (Eizlan Yusuf) serta kerajaannya, lepas tu Kadek kini pegang kitab tu untuk sebab terentu. Korang rasa benda elok ke jadi kat diorang ni?
Sebelum filem ni bermula, aku dah set awal-awal supaya otak aku benamkan sampai ke kerak bumi sampai terbakar atau campak ke laut siap-siap. Nasib baik itu yang aku dah tetapkan. Ya ampun, memang terasalah keterujaan tuan Fauzi Nawawi nak mengarah filem layar perak pertamanya selepas banyak mengarah telemovie sebelum ni. Aku tak tau dia nak buat filem apa, biarpun digembar-gemburkan terpengaruh dengan Avatar dan Lord of the Rings. Sumpah aku terus teringat Suicide Squad bila tengok filem ni bila bercakap tentang kecelaruan. David Ayer, sama-samalah berenang di arus Ayer yang keruh (hambar doh).
Mari lihat sudut pembikinannya. Ini apa yang aku dapat senaraikan:
- CGI hampeh, check. Tapi, entah kenapa aku suka usaha pasukan kesan visual khas letakkan perhiasan atau makhluk fantastikal tertentu yang nak menunjukkan memang kita tengah berada di alam lain; sentuhan tu aku boleh layan.
- Lawak merapu berlebih-lebihan tak ada isi, check.
- Adegan yang tak membantu plot serta flashback yang tak pernah pun diperkenalkan dalam filem ni dan disebut walaupun sekali tapi nak diselit jugak sebab nak memaksa keluar sesuatu emosi dan lawak, check.
- Kostum dan mekap buruk, check.
- Muzik dan efek bunyi berlebihan yang ingin memaksa keluar perasaan penonton, check.
- Plot dan skrip yang memang hancur dia punya verisimilitude serta logik-dalam-filem-fantasi, check. Aku kecewa bila bahasa makhluk jahat dalam filem ni gibberish je dan bukannya bahasa fantasi yang ada struktur dan bertatabahasa seperti Valerian atau Dothraki. Lagi satu, kenapa sanggup belajar ilmu hitam untuk dapatkan ayam hutan sedangkan dia boleh je tangkap ayam tu dan filem ni tak berlaku pun? Ke ayam kampung susah gila nak cari kat tempat dia? Tak ada pun penerangan pasal ni. Jadah apa?
- Adegan "perang" paling gagal, check.
- Kualiti sinematografi ke laut, uncheck. Aku agak terkejut dengan kerja sinematografer dia; dari segi warna dan ketajaman visual serta pemilihan dan rakaman sesetengah shot, memang superb dan macam filem! Kalau bukan sebab dia, filem ni layak jadi filem terus ke DVD/Blu-Ray/digital je.
Sekarang, lakonan pulak. Hairul Azreen jambu dan cuba membawak jugak skrip yang merepek ni sebaik mungkin. Bard ni kalau bahagian "kelakar" dan loyar buruknya dia dikurangkan sikit, ada jugak semangat sympathetic tapi berkeyakinan yang aku rasa pada watak Tyrion Lannister lakonan Peter Dinklage dalam Game of Thrones. Siti Saleha ada kat situ untuk nampak lawa dan tak ada sebab pun nak beremosi. Eizlan Yusuf memang terlalu selamba untuk jadi raja. Syawal sebagai si makhluk Gragos tu macam Darth Maul OKU. Marsha Milan pulak okey je lakonannya, cuma aku tak masuk dengan emosinya. Aku rasa Marsha Milan, Hairul Azreen dengan Bard je yang ada hati nak berlakon. Yang lain semua macam tawar hati. Eh, lupa nak cakap pasal Fauzi Nawawi sendiri; filem dia sendiri kot, mestilah menonjol! Kah!
Baiklah. Sampai sini saja. Korang rasa aku suka ke tak filem ni? Lagi satu, korang nak tengok tak? Bagi aku, minda kena set di tempat yang betul. Kalau korang makan taktik pemasaran yang menyamakan filem ni dengan Lord of the Rings dan Avatar, maka korang akan tersangat kecewa. Tapi, kalau korang set filem ni berada di antara Suicide Squad dan Vikingdom atau Jaka Sembung, aku yakin korang akan seronok. Pencinta B-movie atau Z-movie patut meraikan filem sebegini. Juga sesuai bagi mereka yang jenis mudah terhibur.
Kini sedang ditayangkan mulai 23 Februari 2017 di 65 pawagam seluruh Malaysia kalau korang berani nak tengok. Sekian.
1 comment:
Kutipan memuaskan tak bro
Post a Comment