[Ulasan ini adalah untuk Movie Addict Malaysia
yang tak diterbitkan pada tahun 2017]
Filem Dubai My Love / DML berkisar tentang Amar (Erwin Dawson) yang
membawa diri ke Dubai bersama teman wanitanya (Putri Najuwa) setelah
ditinggalkan bakal isteri di hari perkahwinan. Namun, kehadiran seorang
gadis misteri (Hanna Aqeela) mula menggugat hubungan antara Amar dan
teman wanitanya, kerana gadis itu memegang rahsia hidup yang sering
membelenggu Amar.
Ulasan ini TAK ADA SPOILER, jadi selamat untuk anda baca.
Secara jujurnya, tak banyak yang saya ketahui
tentang pengarahnya. Paling terkini, Aidilfitri Mohd. Yunos terkenal
dengan Aku Haus Darahmu, sebuah filem seram dan Rindu Awak 200%, sebuah
siri drama televisyen romantik yang agak popular buat seketika. Bunyinya
amat menarik di situ; daripada genre romantik, berubah kepada seram,
lalu kembali membikin genre romantik, tetapi dalam bentuk filem cereka.
Jadi, adakah DML sebuah naskhah romantik harapan bagi industri filem
kita? Jawapannya, tidak sama sekali. Masih jauh lagi perjalanan pengarah
ini dalam industri filem tempatan.
Antara perkara yang positif
tentang DML adalah pemilihan muzik yang merdu dan entah kenapa sangat
'complimentary' dengan poster filem ini dan bandar Dubai itu sendiri di
luar filem DML. Asas penceritaan filem ini juga agak kuat; kerana ini
antara filem tempatan terkini yang terang-terang menzahirkan 'role
reversal' secara positif, di mana perigi yang cari timba. Perkara ini
sangat jarang diketengahkan mana-mana filem tempatan. Selain itu,
lakonan bersahaja Erwin Dawson dan Ben Ali yang berperanan sebagai
sepasang kawan baik nampak seronok untuk dilihat kerana mereka mempunyai
keserasian dan ini dibantu oleh penulisan dialognya yang sangat santai.
Namun, di situlah terhentinya sudut positif filem ini.
Semakin
penonton meneliti DML, kelemahannya menjadi semakin ketara. Bukan
seperti filem seumpamanya yang menggunakan negara Timur Tengah sebagai
tajuk dan latar tempatnya seperti Istanbul, Aku Datang, penggunaan
lokasi dalam DML terlalu terhad dan seperti hanya digunakan sebagai
'filler' untuk menunjukkan bahawa filem ini menjalankan penggambaran di
Dubai yang langsung tak membawa sebarang makna lain (dan ini sering
diulang-ulang menerusi montaj yang tak membantu jalan cerita pun).
Memanglah satu kerugian bagi pihak produksi DML untuk tak mengeksploit
sepenuhnya landskap gah Dubai dalam naratif filem ini agar ia menjadi
lebih menarik untuk diikuti.
Menyentuh semula tentang konsep
'role reversal', sayang sekali konsep tersebut tenggelam akibat
berselisih dengan klise filem romantik yang sudah biasa disogokkan
sehingga mencetuskan terlalu banyak lubang plot yang langsung tak
dikambus dengan baik. Potensinya hilang begitu saja. Dialog dalam
skripnya juga diperlakukan sebegitu, biarpun ia sedap didengar dan
seronok melihat para pemain melontarkannya.
Bercakap tentang
pemain, mereka seharusnya menjiwai watak yang diberikan agar emosi
sesebuah filem romantik itu sampai kepada penonton. Itu tak berlaku
dalam DML. Lakonan dalam filem ini bagi saya terlalu bersahaja dan sama
seperti tona dialognya yang walaupun sedap didengar, tapi tiada satu pun
yang mencengkam sanubari; pendek kata, mendatar. Para pemain seperti
Putri Najuwa dan Hanna Aqeela tak kesampaian emosi lakonan mereka;
mereka seakan-akan hanya membaca skrip dan tak mendalami watak-watak
mereka yang sebenarnya agak kompleks biarpun ia kedengaran simplistik.
Dari segi visual, saya dapat rasakan penonton akan sukar rasa kagum
dengan DML. Kenapa begitu? Pertama sekali, kualiti gambar filem ini
sangat hambar, kerana ia bukan saja tak layak menjadi drama televisyen,
tapi kualitinya persis projek pelajar universiti yang masih bertatih
membikin filem pendek; ia langsung tak tajam dan tak bersesuaian dengan
medium pawagam. Sudahlah 'color grading' dianak tirikan dan tak
menerapkan warna-warna menarik pada posternya, filem ini juga kekurangan
'glow' yang sering kita nampak dalam filem romantik (baca: pencahayaan
atau 'lighting' yang digunakan terlalu asas dan malap, sehingga
kebanyakan babak kelihatan agak gelap serupa filem seram, dan ini
sungguh ironik).
Kesimpulannya, inilah apa yang boleh dikatakan
tentang DML; filem ini terlalu mudah pembikinannya, sehingga potensi
menariknya yang boleh memberi kelainan pada filem bergenre romantik di
Malaysia disia-siakan begitu sahaja. Hanya lakonan Erwin Dawson dan Ben
Ali serta muzik pilihannya yang mampu menyelamatkan filem ini, bukannya
Putri Najuwa dan Hanna Aqeela mahupun bandar Dubai itu sendiri.
No comments:
Post a Comment