20160830

Sa-buah ulasan filem: 'Kala Malam Bulan Mengambang'

Asal: Malaysia · Bahasa: Melayu, Jerman
Pengarah & penulis: Mamat Khalid
Genre: Film noir, komedi, fantasi · Rilis: 10 Januari 2008

Pelakon:
Rosyam Nor, Umie Aida, Farid Kamil,
Avaa Vanja, Bront Palarae, Kuswadinata, Soffi Jikan

Info lanjut: IMDb

Beberapa tahun lepas cubaan pertama nak ulas filem ni dan bulan kemudian selepas apresiasi filem ni di Content Pitching Centre, Platinum Sentral bersama-sama sutradara Mamat Khalid (siri Kampung Pisang dan spin-off filem-filem ni iaitu siri Hantu Kak Limah dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium) dan pelakonnya Avaa Vanja dan Rosyam Nor, barulah tiba-tiba rasa nak ulas eksperimen menarik bagi industri filem kita ni: sebuah filem komedi gelap dan alam ghaib yang dirangka dalam... gaya film noir, setelah lama bersarang dalam draf blog aku. Ya, film noir. Penerangan yang mudah bagi genre ni ialah filem detektif kuat merokok yang kelam dan ada perempuan suka menyemak dan hitam-putih warnanya, tapi perisanya memang perisa tempatan; yelah, kata karya Mamat Khalid!

Nak tau tak apa yang menarik? Aku pernah tonton satu filem Indonesia dulu, tajuknya Kala arahan Joko Anwar. Yang pelik tu nama dia nak dekat dengan Mamat Khalid punya Kala. Lepas tu dua-dua ambik pendekatan noir dan supernatural. Keluar pun waktu dekat-dekat dalam tahun yang sama! Cumanya, bagi aku, elemen supernatural dalam Kala Malam Bulan Mengambang ni biarpun melampau-lampau merapunya, aku rasa perlaksanaannya lebih kena digayakan di sini berbanding dalam filem Kala; sebab dia tau konsep tu mengarut, jadi dia betul-betul tak ambil serius tentang dirinya! Kalau korang perasan, deskripsi bawah poster tu kata filem ni ada Bahasa Jerman! APA?!

Oh. Aku rasa reviu ni ADA SPOILER. Kalau tak kisah, bacalah terus! Dan maafkan aku kalau pandangan ni cetek je rasanya; sebab pendekatan yang digunakan agak rawak bagi aku dan aku kurang fasih pasal rujukan-rujukan yang Mamat Khalid utarakan dalam filem ni... dan sebab aku tak terus ulas filem ni selepas tontonan semula tu.

Filem ni pasal Saleh (Rosyam Nor), wartawan yang nak hilang kerja. Nak dijadikan cerita, tiba-tiba, tayar kereta dia pancit dek dicucuk rangka manusia yang pegang sebilah keris, dan elok-elok ja dia terhenti dekat Kampung Senduduk Rimbun, di mana dia terjumpa femme fatale pojaan hatinya Putih (Umie Aida) dan abangnya Jongkidin (Farid Kamil), di mana Jongkidin tu terus menawarkan diri untuk baiki kereta Saleh tanpa sebab... kot. Selidik punya selidik, rupanya kampung dia mendarat tu ada misteri penduduk kampung yang hilang... kala bulan mengambang, dan keris tu ada kaitannya. Maka bermulalah penyiasatan En. Saleh dalam merungkai misteri kampung tu sebagai scoop terbesarnya dan isi hati wanita pujaan yang dicintainya hanya melalui pandang pertama. Sungguh berkeju simpulan plot ni, betul dak?

Filem ni throwback teruk weh era filem-filem era P. Ramlee (aku letak ni jelah, sebab berapa kerat ja filem era ni aku tengok selain filem P. Ramlee), sebab komedinya memang ikut gaya filem zaman tu, siap muzik dia pun sangat old-school dan jazzy kadang-kadang, malahan prop, kesan khasnya, dan suntingan pun bersungguh-sungguh dibuat secara praktikal dan nampak sungguh retro. Elemen muzikal pun ada juga diselit, cumanya bukan yang jenis tiba-tiba; memang masa tu babak tengah lalu dalam kelab malam atau studio jamming contohnya.

Dari segi lakonan dan perwatakan, yang menarik tu, watak Saleh ni biarpun melampau sangat pembawakannya, tapi dia ni banyak gila konflik dalaman yang perlu diselesaikan (ini pun sebab suara hatinya diperdengarkan, yakni elemen parodi kepada film noir yang tak ada pun benda ni), dan sesuatu yang jarang kita nampak dalam perwatakan watak dalam filem Malaysia. Farid Kamil pun buat aku terkejut juga dengan watak dan lakonannya dalam filem ni! Umie Aida pulak... cantik. Tu je. Oh ya, Soffi Jikan pun ada dalam ni, tapi sebagai pejuang Komunis berperangai acah-acah Nazi... dan dia bercakap Bahasa Jerman! Taktaulah itu Bahasa Jerman memandai ke apa, tapi watak dia memang kelakar! David Teo lagilah bangang. Dalam ni, kerja dia asyik bagi offer je. Dia ni terlalu sporting ke atau memang dia tak sedar Mamat Khalid macam perli halus si kapitalis filem ni? Entahlah. Watak-watak sampingan pun sangat menarik bagi aku! Tak ada satu pun yang tak penting!

Macam mana dengan sulaman konsep dan jalan ceritanya? Aku rasa, elemen penyiasatan tu menarik gila bila hanya bayangan elemen supernatural tu diselitkan. Bagi aku, bahagian misteri kehilangan penduduk tu dah cukup untuk habiskan filem ni; bahagian keduanya yang aku rasa takut nak spoil tu pulak rasanya lebih sesuai kalau dijadikan sekuel. Aku cakap macam ni sebabnya separuh pertama filem ni macam filem komedi, tapi separuh kedua 'fun factor' dia banyak gila diturunkan, sebab majoriti separuh kedua filem ni sangat serius. Mungkin sebab abang Mamat tahu yang pulangan tak cukup untuk digunakan bagi pembikinan sekuel kot dia instead letakkan itu terus dalam satu filem, atau memang sengaja dia biarkan penonton pilih penyudahan kesukaan mereka? Mungkin?

Aku rasa sampai sini je kot. Filem ni merupakan antara jari tengah kepada industri filem (ya, Kuswadinata ada kasi jari tengah, tapi Lembaga Penapisan Filem tak boleh nak potong, kahkah!) dan setiap isi Malaysia (lebih-lebih lagi bangsa aku sendiri) paling berkesan dan unik bagi aku! Kalaulah filem-filem dia akhir-akhir ni se-chill filem ni atau Zombi Kampung Pisang dalam menyampaikan homage dan kritikan sosial, pastinya aku akan lebih kagum pada Mamat Khalid. Tapi, biarpun begitu, aku masih sentiasa menanti naskhah-naskhahnya di masa akan datang!

P/S: Aku teringin nak layan Senario: Lang Buana dan siri filem Rock. Yang pertama tu sebab memang parodi Lord of the Rings terbaik bagi aku dalam tontonan tersekat-sekat aku dan yang kedua tu sebab ramai gila suka quip dari filem tu. Argh.

No comments: