20111222

Sebuah reviu filem: 'Songlap' telah mencuri anggapan anda tentang dirinya sendiri.

Asal: Malaysia · Bahasa: Melayu, Inggeris, Mandarin
Pengarah: Effendee Mazlan, Fariza Azlina Isahak
Penulis: Fariza Azlina Isahak, Ayam Fared (tidak dikredit)
Genre: Drama · Rilis: 15 Disember 2011

Pelakon: Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali

Studio: Red Films · Pengedar: Grand Brilliance

Aku fikir KL Gangster arahan Syamsul Yusuf sebagai filem Malaysia yang diberikan sedikit nafas segar dari segi mutu skrip mahupun jalan cerita serta plot device-nya (gangsterisme) sudah cukup memberangsangkan dan patut diberikan tabik spring yang daya lompatannya sangat tinggi sehingga memecah ruangan langit sinema Malaysia, tapi nampaknya salah tanggapan aku! Akhirnya, Syamsul Yusuf tetap anak Yusuf Haslam juga kerana masih mengharapkan cliché; drama adik-beradik masih ada, aksi-aksi yang ganas, mantap dan mendebarkan ditunjukkan banyak-banyak, dan hampir kesemua dialognya terlalu catchy, penonton akan rasa diri tak cool kalau apa yang diucapkan tidak dijadikan kuotasi untuk diingati dan dimasukkan dalam perbualan seharian mereka. Pengajaran yang diberikan juga masih cetek dan kurang bernas; yakni janganlah menggatal sangat nak melibatkan diri dalam gangsterisme. Masih lagi filem Melayu; bukannya filem Malaysia.

Tapi, sejak aku terserempak dengan trailer filem Songlap dan posternya, dan menonton sendiri filem tersebut, aku rasa rugi pula meluahkan orgasme melampau terhadap filem yang aku sebutkan di atas, walhal filem ni sebenarnya yang patut dighairahkan dan disokong menggunakan sepenuh kudrat yang ada.

Tak cukup lagi menatap kesempoian rekaan posternya yang sangat mudah, aku juga suka kesempoian trailer filem ni yang langsung tidak memberitahu jalan cerita tetapi hanya memberitahu isu apa yang diketengahkan oleh pasangan sutradara Songlap ni. Tajuknya pun sudah cukup untuk 'mencuri' perhatian anda dengan membuat anda menganggap filem ni semestinya filem komedi, lebih-lebih lagi apabila Shaheizy Sam yang dipilih menerajui filem ni; muka sama yang menghiasi filem hampir sampah seperti Adnan Sempit (premis dan konsepnya aku suka, tetapi pengolahan dia aku ketuk dahi sikit) dan filem najis seperti Kongsi, dan memang tajuknya sendiri mempunyai aura aksi komedi seperti Kongsi. Realitinya, memang jauh panggang dari api.

Serius. Selepas aku tonton trailer Songlap, aku semacam sedang mengamati sebuah filem pendek independent yang sangat cantik, dan fakta ini menjadi lebih cantik ialah apabila aku baru dapat tahu bahawa pasangan sutradara Songlap yakni pasangan suami isteri Effendee Mazlan & Fariza Azlina Isahak inilah orang sama yang bertanggungjawab merealisasikan siri TV remaja KAMI ke layar perak. Tak dapat disangkal lagi perasaan itu, sememangnya ada aura indie yang kuat pada keseluruhan filem ini (memandangkan KAMI memang sedikit sebanyak berkisarkan budaya tersebut).

Shot yang digunakan pun dilihat sangat jarang digunakan di dalam filem tempatan. Peranan kamera kali ni telah dieksploit dengan sepatutnya dalam Songlap, di mana kali ini kameranya benar-benar menggambarkan emosi dan perasaan setiap karakter dalam situasi yang mereka sedang hadapi, selain daripada semata-mata menzahirkan perkataan di dalam buku skrip ke bentuk visual. Aku mana reti sangat nak cakap pasal shot dan sudut kamera, tapi aku berharap anda dapat rasalah apa yang aku rasa apabila sudah menonton trailer filem ini. Aku pasti setiap keterujaan, kebengangan, awkward moments, dan kegelisahan dapat dirasakan apabila anda cuba meletakkan diri masing-masing sebagai lensa kamera yang dapat menyaksikan segala tindak tanduk para watak dan motif di sebalik apa yang mereka lakukan. Kesemua olah gerak yang anda lihat di dalam trailer ni... kesemuanya ada di dalam Songlap, namun aura dan perlaksanaannya lebih dahsyat dari apa yang ditunjukkan.

Ini lagi satu benda aku kagum walaupun agak remeh; produksi Songlap bukannya jenis pemalas. Isu yang diketengahkan dalam filem ni agak berat dan memerlukan pendekatan realisme kalau mahukan mesej yang disampaikan tu berkesan. Kalau dahulu kita selalu hanya mampu mendengar laporan media massa tentang pelacuran, sindiket jual bayi, perjudian, dan kes sumbang mahram tetapi langsung tak ada sepatah haram pun maklumat pasal apa yang berlaku di belakang tabir kes-kes macam ni, nasib kita memang baik kalau filem ni ditonton; kerana aku boleh keikhlasan produksi filem ni dalam ingin menunjukkan betapa buruknya padah mereka yang telah memilih jalan hitam untuk meneruskan hidup. Perjalanan kegiatan sial manusia-manusia parasit macam mereka ni memang jelas digambarkan susur galurnya. Lorong sempit berlecak mereka redah, bangunan terbengkalai mereka masuk, rumah sindiket jual bayi pun ada juga, sarang berjudi yang bersepah macam tempat lepak tikus tu tak perlu ceritalah. Perangai dan tingkah laku serta cara berkomunikasi sesama mereka pun sudah cukup memberangsangkan. Celah mana mereka dapat port yang mungkin sama atau seakan-akan sama dengan situasi yang asal pun aku tak tahu. Sememangnya nampak boleh dipercayai.

Lagi satu benda yang patut dipuji ialah kesederhanaannya dalam meletakkan cliché filem Melayu. Dari segi eksploitasi sub-budaya remaja, walaupun Songlap semacam mahu menghidupkan kembali kegemilangan scene Hip-Hop di Malaysia yang hampir mati secara perlahan-lahan melalui babak tarian B-boy dan beberapa buah lagu bergenre Hip-Hop yang jarang sekali diperdengarkan sejak belakangan ini, budaya itu tak pula ditonjolkan lebih-lebih. Barang kali pembikin filem ni faham bahawa bukan semua remaja di Malaysia ni kaki Hip-Hop, mereka pun suka benda lain juga. Jadi, biarlah benda ni hanya menjadi tarikan buat Ad yang sememangnya minat breakdancing tu. Begitu juga dengan cliché-cliché filem Melayu yang lain; segalanya diletakkan secara cukup rasa dan tak pula dilebih-lebihkan. Masih ada drama keluarga, masih ada pergaduhan, masih ada babak kereta, tapi tak meleret. Orang pun senang nak ikut.

Sekarang, mari bercakap pasal perwatakan watak serta jalinan konflik filem ni. Sememangnya aku respek filem Songlap; produksi memang sudah merancang dari awal untuk terus mencantas tanggapan para penonton tentang pengisiannya. Memang anda akan ternampak muka Shaheizy Sam yang sudah sinonim dengan filem aksi komedi, sememangnya anda akan ternampak Syafie Naswip jadi macam orang gila depan cermin dengan tarian statiknya, tetapi itu sebenarnya mereka dalam dilema, bukannya tengah nak melawak. Aku ingin katakan di sini... ini baru orang kata keluarga porak-peranda. Setakat tunjuk perempuan pakai skanky jual dadah dekat kelab apa barang, setakat adik jadi taiko tu apa ada, mereka ni lagi teruk; Ad (Syafie Naswip) dan Am (Shaheizy Sam) terpaksa masuk ke dunia sindiket pemerdagangan manusia kerana terpaksa, dan sebab-sebab mereka melakukan perkara terkutuk sebegitu turut terjawab tanpa perlu menyuapkan semuanya sekali gus. Am ingat dia pandai sangat apabila dia memilih untuk meneruskan hidup dengan suap duit haram pada adik dia setelah ditinggalkan ibunya itu (lakonan Normah Damanhuri) yang telah memilih untuk memperdagangkan daranya demi mencari rezeki diri sendiri dan membiarkan anak merempat. Ad pula sudah serik dengan cara hidup kotor dan juga kehidupannya yang menyempitkan jiwa mudanya yang ingin bebas daripada belenggu masalah; jadi dia pun terus mencari jalan yang lebih baik untuk keluar daripada apa yang mereka lakukan. Watak Hawa (Sara Ali) juga patut diberi perhatian; kerana raut wajahnya yang hampir setiap masa suram walaupun sedap mata memandang, diikuti dengan kekurangan dialog dan bahasa badannya sememangnya berjaya menggambarkan seorang wanita yang mengalami gangguan emosi dan mental setelah diperkosa oleh bapanya sendiri. Tak perlu pandang perut pun dah tahu dia ni bermasalah. Pertembungan konflik ketiga-tiga teraju utama filem ni telah membuatkan mereka serba lemah dan saling melengkapi dan memerlukan; dan itulah manusia. Manusia mana pernah sempurna, selalu saja buat silap. Itu yang aku tabik pasal Songlap; setiap watak ada kelemahan masing-masing. Semua watak dalam Songlap masing-masing ada konflik dalaman yang perlu diselesaikan, tapi tak perlulah nak ditunjukkan kesemuanya. Apa? Ingat masalah hidup boleh cepat selesai macam jawab 1 + 1 ke? Kenalah urai sendiri. Inilah pendekatan pembikin Songlap yang masih sesetengah penonton yang kurang celik agak susah nak telan.

Akhir kata, biarlah Am yang habiskan reviu berjela aku pasal filem yang sepatutnya menjadi tatapan seluruh rakyat Malaysia yang sedar akan kekejaman hidup ni. Kalau ada bintang aku nak bagi, aku nak bagi 5/5. Tahniah buat Red Films dan Grand Brilliance atas naskhah yang diharap boleh dijadikan blueprint bagi penggiat filem yang lain untuk terus menghidupkan dan mengintelekualkan industri perfileman tanah air.
"Kalau menari boleh dapat 50 000, dah lama Dr. Rozmey belajarlah."
Ayat di atas ni sememangnya merupakan tamparan yang hebat buat produksi-produksi filem sampah di Malaysia. Nasib baik Songlap jauh lebih hebat dan bermakna daripada filem terbitan Dr. Rozmey tu, kalau tak mesti dah kena saman teruk-teruk dan dimalukan habis-habisan oleh usahawan tu. Sekian.

No comments: