Sabtu, 21 Januari 2017 ialah satu hari yang gila. Aku rasa dah banyak kali jugak aku petik nama Pusat Kajian dan Apresiasi Filem / PKAF dalam blog aku ni. Kenapa? Sebab aku penyokong tegar depa ni. Depa ni punya hasrat memang murni; nak ketengahkan dan membincangkan serta menghargai karya-karya hebat seantero dunia dan lebih fokusnya sinema Asia yang atas sebab tertentu tak masuk dalam radar penonton filem Malaysia dalam skala kecil. Diorang ni dah lama wujud sebenarnya, sejak 2012 lagi. Tapi, diorang baru mula menonjolkan diri secara perlahan menerusi sesi tayangan filem diorang yang pertama iaitu Wayang@Budiman pada tahun 2015 dan kini telah mula melebarkan sayap depa di luar Alam Budiman serta menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan sinema secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran. Siapa sangka, usaha murni depa ni dah masuk pun masuk tahun ke-2. Demi menghargai khalayak yang berterusan menyokong dan juga hangpa yang baru berjinak nak mai ke slot tayangan sebegini di samping meraikan sinema itu sendiri, depa adakan satu Temasya untuk meraikan perkara tersebut.
Ruang yang agak sempit di rumah kedai dekat Alam Budiman tu serta jaraknya yang agak hulu tu tak menghalang para pencinta sinema lokal, Asia dan antarabangsa untuk datang berdiskusi pasal filem. Acara ni bukan acara biasa-biasa. Orang-orang yang dijemput untuk slot pertama Temasya tu bukan calang-calang orang; semuanya player industri filem Malaysia yang ada kalibernya tersendiri. Lepas tu, ada pulak dokumentari pasai usaha seorang pembikin filem mencari antara filem terawal Malaysia yang dikatakan telah hilang. Kemudian, tiba-tiba dapat tetamu tak diundang yang mengejutkan! Pada malam hari, kemuncaknya pulak ialah tayangan filpen (baca: filem pendek) yang dihasilkan oleh para khalayak yang sering datang ke sesi Wayang@Budiman hampir setiap malam bertemakan roti yang kita selalu jumpa kat kedai mamak yang dinamakan #AntologiROTI (dua filpen dalam antologi ni aku tolong buat sarikata; ada jugak kerja terjemahan aku yang lain kat sini 😆). Mari selami perasaan aku pasal acara ni (amboi!).