20160825

Sebuah reviu filem: Korang jangan buat 'Pekak' ye! Debik kang!

Asal: Malaysia · Bahasa: Melayu
Pengarah & penulis: Mohd Khairul Azri Md Noor
Genre: Drama · Rilis: 1 September 2016

Pelakon: Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Zaidi Omar,
Sharifah Sakinah, Amerul Affendi, Iedil Putra, Joe Flizzow

Info lanjut: IMDb


Jujur cakap, aku tak tau dari mana aku dengar pasal filem ni. Pendek kata, aku pekakkan telinga aku pasal kewujudannya. Tapi, tetiba ramai pula yang melobi aku untuk tonton filem ni sebagaimana Joe Flizzow melobi dirinya selama ni untuk menjadi seorang ahli 'kartel' sepanjang karier solonya. Sekali, ambik kau dia jadi pengedar dadah dalam filem ni! Kartello, hello! Okay, mukadimah yang merapu, tapi ada sebabnya kenapa aku sentuh pasal ni. Jauh sikit dalam reviu ni aku habaq na?

Nak ditakdirkan, aku dua kali dijemput untuk tonton filem ni sebelum dikeluarkan untuk orang ramai 1 September depan (yang juga hari pertama aku makan gaji tetap bulan-bulan!); kali pertama sebagai sesi soal jawab bersama dua orang pelakon dan pengarahnya dan kali kedua pula sebagai tayangan perdana atau nama poyonya 'Malam Gala.' Yang kedua aku dapat pergi, dan semua pelakon dan para tunjang belakang filem ni datang mai (kecuali Zaidi Omar). Aku bersyukur sebab dapat berkenalan dengan pencinta filem ni sampai dapat mingle secara kasual dengan para pemain industri like nobody's business. Sungguh. Sepertimana aku juga jatuh cinta pada filem yang fokusnya sepelik terbitan Tengku Iesta sebelum ni pasal orang nak bunuh diri: filem Pekak  ni pasal orang pekak yang terpaksa menjual dadah. Lolwut?

Baiklah. Memandangkan filem ni masih lagi tengah chill sebelum bertemu penonton, aku cuba kasi ulasan TANPA SPOILER, di mana tujuan ulasan ni semata-mata untuk suruh korang pergi sokong satu lagi filem berkualiti bikinan anak watan kita. Ayuh! Iqra'!

Seperti yang diwar-warkan dalam visual poster, filem ni tentang Uda (Zahiril Adzim), seorang pemuda pekak yang menjual dadah. Lepas tu, dia terserempak dengan sorang budak sekolah bernama Dara (Sharifah Amani). Get it? Pertemuan depa ni bakal mengubah hidup masing-masing yang diselubungi permasalahan sosial muda-mudi.

Maaf cakap, ini bukan pasal cinta terhalang atau cinta antara dua darjat. Ini pasal perbezaan perspektif hidup yang membuatkan Uda dan Dara ni takkan dapat bersama (ini bukan spoiler tau, sebab poster tu dah terang lagi bersuluh mengakatakan memang akan ada sesuatu yang tak kena bila depa bertemu). Ya, filem ni anti-romantik bagi aku. Sebabnya, seorang pekak jual dadah jatuh cinta dengan pelajar sekolah yang disekolahkan kehidupan. Aku rasa itu je sudah cukup sebagai penarik untuk buatkan penonton ingin tahu akan kesudahan perjalanan mereka bersama mengharung onak duri kehidupan moden yang penuh kancah najis sosial bagi muda-mudi kita yang semakin sempit sekarang ni (eceh!).

Sekarang teknikalnya. Bagi aku, sangat superb. Replikasi dan imitasi gaya arthouse yang hampir berkesan yang turut disulami gaya suntingan pop masa kini membuatkan filem ni masih boleh diamati oleh penonton filem bertih jagung. Korang akan rasa sepekak Uda, sebab rekaan bunyinya menzahirkan kekurangan Uda tu supaya penonton boleh jadi Uda sendiri dan rasai pengalaman hidupnya sebagai seorang yang punya kecacatan pendengaran. Beberapa visual cues yang bagi aku biarpun nampak seakan novelty, tapi untuk filem sebegini, nampak sangat sesuai digayakan tanpa nampak terlalu mencuba (ni aku attack hangpa ni, Suicide Squad!). Dari segi sinematografi, juga sangat superb. Aku suka gila pencahayaan filem ni; seakan-akan filem Spring Breakers disebabkan penggunaan cahaya neon untuk beberapa babak tertentu yang mencerminkan gaya hidup liar muda-mudi zaman sekarang ni. Muziknya juga sangat atmosferik dan mencengkam jiwa, dan dijalin begitu cantik dengan visual serta rekaan bunyinya.

Okey. Celah olahan cerita sudah. Teknikal pun sudah. Sekarang lakonan. Zahiril Adzim sebagai Uda berjaya membawa watak seorang pekak yang kita sangkakan akan sentiasa diberi belas kasihan rupanya manusia biasa je. Sharifah Amani sebagai Dara pulak... objek cinta yang biasa saja, tapi punya chemistry yang decent bersama Zahiril Adzim. Sharifah Sakinah sebagai kawan Dara yakni Melur? Wow. Perwatakan sundalnya sangat berkesan dan aku rasa lebih powerful dari Dara sendiri. Amerul Affendi sebagai Azman Picasso? Beliau sekali lagi berjaya jadikan watak yang dibawanya macam orang betul, dan sekali lagi membawa watak yang macam sial selepas Mat Yam dalam Polis Evo, tapi korang memang akan rasa genuinely nak bunuh mamat ni. Memang method actor dia ni. Yang lain-lain tu okey jelah... kecuali Joe Flizzow, sebab dia buatkan aku terkejut. Aku tau dia pernah ada sedikit peranan sebelum ni dalam siri TV Projek Pop di mana Iedil Putra turut berlakon sekali. Aku tak ikut sangat siri tu, jadi aku tak tahulah apa lagi Joe buat dalam tu. Tapi, dalam Pekak ni, dia memang ada bakat lakonan yang boleh pergi jauh! Mungkin boleh jadi Nas-T (DJ untuk kugiran Nu-Metal Dragon Red, dan aku cakap gini sebab dia ahli salah satu cabang Hip-Hop yang boleh tahan lakonannya) yang seterusnya tapi versi yang pandai pilih medium lakonan? Siapa tahu? Aku rasa mesti dia smirk habis bila diberi peluang untuk akhirnya betul-betul jadi seorang ahli kartel dadah biarpun hanya sekadar berlakon. Ye dak, Mr. President?

Baiklah. Aku rasa sampai di sini saja ulasan aku yang boleh kata versi theatrical release. Nak ulasan versi ultimate cut? Tonton filem ni sendiri, dan ulaslah bersama rakan-rakan atau teman-teman anda yang menonton sekali filem ni, maka jadilah ulasan yang lebih lengkap dan mendalam daripada apa aku taip. Sebabnya apa yang aku cakap ni tak mungkin akan berikan kepuasan kepada mereka yang jenis harapkan ulasan baik baru nak pergi tonton. Secara peribadinya, filem ni berada di tempat ketiga filem jenayah Malaysia yang aku suka, di mana Songlap berada di tangga pertama dan Jagat di tangga kedua. Sumpah aku kata, rencah dalam filem ni semuanya ada dalam suapan pukul 7 petang kat TV3 tu, tapi versi yang aku rasa lebih senang nak relate. Silalah bawa semua orang yang sepatutnya untuk menyokong produksi tempatan macam ni. Percayalah yang aku tak tipu bila aku kata filem ni bagus. Kalau aku tipu, aku berdosa. Itu je.

Sangat disyorkan. Silalah tonton bermula 1 September 2016 nanti ya.

P/S: Tontonan ini ditaja oleh Grand Brilliance dan grup Movie Addict. Oh yeah. Filem percuuuma~ yang best giiiilaaa~

No comments: