20160201

Sebuah reviu filem: 'Ola Bola!' Apa khabar?

Asal: Malaysia · Bahasa: Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris
Pengarah: Chiu · Penulis: Chan Yoke Keng, Tan Pik Yee
Genre: Sukan, drama · Rilis: 28 Januari 2016

Pelakon: J.C. Chee, Luqman Hafidz, Sarankumar Manokaran, 
Marianne Tan, Katrina Ho, Daphne Low, Bront Palarae, 
Frankie Lee

Lebih info: IMDb
Hai. Selamat datang ke reviu filem yang dirilis pada tahun 2016 yang pertama sekali aku tonton!

Mempersembahkan sebuah reviu pasif-agresif aku tentang antara filem yang atas sebab tertentu dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia tapi bukan aku. Aku pernahlah jugak dengar samar-samar pasal filem ni dan jugak pasal pengarahnya yang sebelum ni mengarah filem Mandarin sleeper hit di box office Malaysia satu masa dulu, The Journey yang aku masih belum berpeluang nak tonton. Lepas tu, tiba-tiba trailer filem ni dirilis. Aku pun tengoklah, sebab trailer dan posternya sekali lagi menarik perhatian aku.

Sekali lagi, Astro Shaw ni jenis tak lokek keluarkan bajet yang sewajarnya untuk aspek promosi dan marketing filem sukan bola sepak yang kedua selepas Jejak Warriors yang juga aku tak tengok lagi tu sebab aku bukannya jenis tengok bola sepak mahupun dengan khusyuknya menelaah perkembangan terkini arena bola sepak tempatan mahupun luar negara. Ini apa aku suka:
  • Cara trailer Ola Bola mempromosikan filem ni sangat cerdik; semua babak-babak mendebarkan yang sebenarnya borderline spoiler bagi aku, cepat je dia fade-kan. Lepas tu diadun pulak dengan muzik piano dramatik yang wajib ada pada trailer-trailer Hollywood (yang walaupun dah lama fenomena ni berlaku, tapi entah kenapa baru orang nak pecah kepala pasal hal ni bila The Force Awakens yang buat macam tu). 
  • Posternya pula sekali lagi, macam Polis Evo, telah menceritakan segala isi filem secara sepintas lalu dan tak mementingkan sangat star-power; biarpun Bront Palarae yang sekarang ni boleh aku anggap sebagai Johnny Depp Malaysia jugak memegang watak dalam filem ni, depa tak jual langsung kewujudan dia (di dalam poster DAN trailernya).
Ok. Cukup dah kot pasal marketing dan promonya. Sekarang, mari aku ulas pasal filem ini sendiri yang aku rasa... indah rupa dari khabar, tapi takdelah menjengkelkan mahupun membosankan. Mungkin aku terlalu berharap tinggi sangat kot.

Berlatar belakangkan era 1980-an, plot utama filem ni sebenarnya diceritakan dalam bentuk imbas kembali atas ehsan Eric Yong yang dah pun bersara (versi tua ni tak tau siapa yang berlakon, tapi versi muda dilakonkan oleh Eric Teng) di mana kita dapat alami semula jerit perih pasukan kebangsaan Malaysia yang berada di bawah naungan kapten Chow Kwok Keong a.k.a. Tauke (J.C. Chee) dan jurulatih dari England bernama Harry Mountain (Mark Williams) dalam perjalanan mereka nak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Biarpun dah banyak lambakan filem drama sukan dikeluarkan di dunia ni, Ola Bola ni merupakan satu-satunya filem sedemikian yang pertama aku tonton betul-betul. Yang seronok tu, seperti aku cakap di atas, aku bukanlah peminat bola sepak. Jadi, secara tak sedarnya aku ajak bapak aku sekali (filem terakhir yang kami sekeluarga tengok ialah tak silap aku Spider-Man 2 [ye, Sam Raimi punya Spider-Man!]) sebenarnya sebab dia ikut jugak perkembangan bola sepak ni dan kebetulan dia jugak merupakan satu antara jutaan rakyat Malaysia yang menyokong pasukan kebangsaan masa pusingan kelayakan ke Olimpik masa tu. Bagus jugak aku ajak dia: dia boleh jadi kami punya ensiklopedia. Kahkah!

Bagi aku yang buta sejarah bola sepak Malaysia ni, aku ingat filem ni secara terus bercerita pasal pasukan bola sepak Malaysia dulu. Pada asalnya, aku ingat filem ni pasal pasukan Mokhtar Dahari a.k.a. SuperMokh (di mana kisah hidupnya dengan judul yang diambil daripada gelaran ni pernah dijadikan... sebuah teater muzikal), satu-satunya tokoh bola sepak tempatan yang aku kenal nama dan tahu sedikit pasal kredibilitinya. Aku terus fikir ini biopik. Lepas tengok trailer, tak ada pun sikit sebut nama Mokhtar Dahari; jadi aku ingat pasal pasukan Malaysia yang lain. Bila aku tonton filemnya, bapak aku yang surprisingly tengok jugak dengan teliti filem ni cakap kat aku bahawa Ali (Luqman Hafidz) ni pengganti kepada jersi no. 10 milik SuperMokh yang direpresentasikan sebagai "Shamsul Super 10." Begitu jugak dengan ahli-ahli pasukan Malaysia lain dan  beberapa karakter tambahan yang sebenarnya merupakan paralel kepada orang-orang kuat sebenar yang terlibat secara langsung atau tak langsung dalam perjalanan pasukan Malaysia ke Sukan Olimpik Moscow. Dekat sini, aku rasa diorang sangat bijak; kalaulah depa terus petik nama sebenar watak-watak yang mereka sedang wakilkan, maka hilanglah fokus cerita ni yang nak bercakap tentang PASUKAN Malaysia; takut jadi one-man show SuperMokh je nanti. Dari segi relevannya dengan keadaan negara, biarpun Chiu ada sentuh isu sensitif macam politik dan perkauman, perkara tu hanya disebut secara halus. Kalau dia push sikit benda tu, konflik dalam filem ni mungkin nampak lebih kuat dan meninggalkan kesan yang mendalam.

Dari segi lakonan, bagi aku menarik. Biarpun ada mood melodrama, dramanya realistik dan mencerminkan keadaan negara ketika tu yang kecewa dengan pasukan Malaysia selepas kekalahan mereka dengan pasukan Korea Selatan masa perlawanan kelayakan Olimpik 1976 ke apa entah kalau tak silap aku. Masa babak-babak cemas, terasa mereka sedang gentar tentang masalah peribadi yang mengganggu semangat mereka untuk mengharumkan nama negara, tapi kaku sikit. Mungkin sebab kebanyakannya pelakon baru kot. Sungguhpun begitu, pujian harus aku bagi pada mereka, lebih-lebih lagi kepada Sarankumar Manokaran sebagai Muthu yang aku rasa paling banyak emosi sekali  sebab bagi aku konfliknya lebih fleshed-out daripada karakter lain dalam filem ni biarpun sebenarnya drama-drama yang ditonjolkan tu tak berapa membantu dalam build up plot filem ni. Oh ya, aku juga perlu letak honourable mentions di sini buat comic reliefs seperti Bront Palarae sebagai Rahman yang aku tak sangka mampu berlawak dengan sangat quirky sebagai seorang pengulas bola sepak yang ada sikit semangat Robin Williams dalam Good Morning Vietnam dan jugak adik-adik Muthu yang aku rasa gembira tengok kesucian dan kebodohan mereka sebagai kanak-kanak. Biarpun lakonannya ada, tapi aku tak terkesan sangat; lepas je aku nak rak bersorak dalam pawagam, keluar-keluar je rasa kosong kat dalam hati.

Seperti Jagat, filem ni jugak bagi aku merupakan period drama. Tapi memandangkan Ola Bola ni skopnya lebih bercita-cita besar daripada Jagat, penataan seninya kalau boleh betul-betul perlu mewakili latar zamannya. Terima kasih kepada ensiklopedia bergerak kami, beliau sahkan bahawa gambaran era 80-an dalam filem tu dari segi props dan pemakaian setiap ekstra yang ramai gila nak mampus tu  hampir sama dengan zaman 80-an yang sebenar! Tapi ada je ralat yang menampakkan sesetengah elemen visual dalam filem tu nampak moden; contohnya keratan-keratan akhbar tu kebanyakannya pakai muka taip moden bagi yang bertulisan rumi, dan beberapa contoh lain yang tak berapa ketara. Lagi sekali aku nak tabik sama Astro Shaw sebab tak takut nak laburkan duit yang banyak bagi aspek yang sangat penting macam props dan setting bagi filem period drama macam Ola Bola (tabik bertambah bila aku dapat tau yang funfair dalam filem ni dibikin from scratch khusus untuk filem ni!).

Dari sudut pembikinan, aku fikir Chiu gabungkan gaya Hollywood yang mementingkan betapa dramatiknya satu-satu shot tu masa babak yang perlukan binaan momentum yang jitu (contohnya macam perlawanan terakhir Malaysia VS. Korea Selatan yang penuh dengan slow-mo dan macam bullet time sikit, serta close-ups pada shot-shot genting yang dipotong ke babak lain secara tiba-tiba untuk rehatkan degupan jantung penonton untuk tau gol tu masuk ke tak biarpun kita tau Malaysia menang) dan gaya Asia yang mementingkan shot-shot indah dan artistik yang terbina daripada framing mise-en-scene alam semulajadi dan objek rustic yang nampak sangat menarik (contohnya masa Marianne [Marianne Tan] naik tren nak berjumpa dengan Eric tu... damn lawa aerial shotnya!). Lepas tu kalau aku cakap ada CGI, korang mesti tak perasan celah mana ada CGI tu. Dan macam itulah bagaimana CGI harus digunakan; untuk membantu penceritaan dan bukannya semata-mata penghias tanpa fungsi! Muziknya pulak, appropriately epic, tapi bagi aku lagu tema Ola Bola yang Zee Avi nyanyi tu... hmm... semak. Mungkin Chiu ni lebih kepada visual orangnya, sebab bagi aku pembinaan ceritanya lemah. Aku tak pernah lagi tonton filem-filemnya sebelum The Journey, jadi aku tak boleh nak komen pasal peningkatan atau kelemahan gaya pembikinannya. Tapi yang pasti, kecantikan visual daripada The Journey yang aku selalu nampak pada promonya memang ada dalam filem ni. Memang visual ni forte Chiu.

Baiklah. Sampai di sini sahaja reviu aku. Disebabkan keringanannya, aku sangat sarankan filem ni ditonton bersama keluarga supaya kita dapat sekurang-kurangnya dapat menerima mesej-mesej positif dalam Ola Bola ni tentang kepentingan berpasukan, erti kerjasama, setia kawan dan keperitan hidup. Tapi kalau nak tengok sorang-sorang filem ni tapi mengharapkan grittiness Foxcatcher contohnya yang sangat mementingkan jalinan kuat antara efek dramatik dan kisah benarnya yang sangat kejam tu tak payahlah, sebab filem ni tak cukup dalam untuk korang dok acah-acah nak deep sorang-sorang. Filem ni tak bagus, tapi tak jugak buruk. Keyakinan aku masih ada terhadap filem Malaysia disebabkan filem ni. Kira baguslah kot dekat situ.

P/S: Casting ocem untuk Siew Lee masa muda (Katrina Ho) dan Chow Mei Ling (Daphne Low). Amoi cun loh!

No comments: