20140513

Reviu imbas kembali #6: Teater 'Sirah Junjungan'

Wah! Lama tak hapdet blog ni wei, walaupun entri terakhir aku tahun ni jugak! Apa-apalaaaah.

Nah, lagi satu ulasan lama, sempena Ramadhan 1435H yang akan menjelang tak lama lagi (eceh!). Ini juga macam flashback review Buddha Collapsed Out of Shame; ayat-ayat dalam ni gila skema sebab aku tulis ulasan ni untuk kelas sebagai tugasan subjek semester 2 diploma aku One Act Drama / Drama Sebabak. Terimalah.

P/S: Maaflah. Tak ada gambar hari kejadian. Aku ni jenis bangang sikit taknak buat dokumentasi. Heh.

Aku tak jumpa poster untuk versi TEKA / FiTA, jadi aku sauk je gambar promosi versi original teater ni kat Google.
Teater Sirah Junjungan merupakan teater yang julung kali diadakan anjuran Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (F.A.C.T) dan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Kolej Puncak Perdana yang telah diadakan selama seminggu di UiTM Puncak Alam sempena sambutan Maulidur Rasul 1432H. Teater ini telah diarahkan oleh Umi Kalsom Ahmad dan merupakan sebuah adaptasi daripada salah sebuah karya Erma Fatima. Secara amnya, kisah teater ini telah digarap berdasarkan perjalanan hidup nabi junjungan umat Islam, Nabi Muhammad S.A.W.; dari awal kelahirannya semasa Tahun Gajah sehinggalah ke nafas terakhir baginda. Sejujurnya, inilah teater pertama yang pernah saya tonton sepanjang hidup saya. Secara keseluruhannya, untuk teater pertama yang pernah saya tonton, saya amat berpuas hati kerana kesannya yang amat mendalam sekali dan membuatkan hubungan kita dengan Rasulullah S.A.W kian dekat di hati walaupun jauh di mata.
Seperti yang disebutkan di atas, babak-babak di dalam teater ini sememangnya diadaptasi daripada kejadian sebenar yang telah berlaku sepanjang perjalanan hidup baginda Rasulullah S.A.W. Tema yang teater ini cuba sampaikan adalah jerit perih yang diharungi oleh seorang manusia biasa yang telah diberikan darjat yang tinggi oleh Allah S.W.T. demi menegakkan ajaran-Nya yang benar. Apa yang saya boleh katakan, tema ini nampaknya berjaya disampaikan dengan terang dan penuh perasaan oleh barisan pelakonnya yang sangat menghayati watak-watak mereka.

Di dalam teater ini, beberapa mesej penting telah diutarakan. Antaranya mesej yang paling ketara ialah hidup ini bukanlah mudah; pelbagai rintangan harus diredah walaupun rintangan itu seberat lautan yang terbentang luas. Mesej ini telah diterangkan secara jelas melalui pelbagai rintangan yang terpaksa dilalui oleh para sahabat dan pengikut baginda yang telah diseksa, dimaki, dicela dan diperangi kaum Quraisy dengan tidak berperikemanusiaan semata-mata kerana ingin menyebarkan dan mempertahankan ajaran Islam yang hakiki di peringkat awal penyebaran agama Islam.

Seterusnya, saya akan menyentuh tentang beberapa aspek yang saya gemari dalam teater Sirah Junjungan ini. Pertama sekali ialah teknik perlambangan yang telah digunakan untuk menyampaikan sesebuah mesej yang tidak berpeluang ditunjukkan secara eksplisit yang mungkin disebabkan oleh kekurangan kos untuk menyediakan props yang lebih baik. Namun atas kekurangan inilah yang telah menampakkan lagi nilai artistik teater ini. Contohnya ialah penggunaan kostum hitam yang dipakai oleh beberapa orang wanita yang bertindak sebagai burung Ababil yang telah melontarkan kain berwarna kuning dan merah bagi melambangkan batu yang berasal daripada api neraka. Walaupun hanya sekadar menggunakan kain, kesan bunyi burung-burung Ababil dan jeritan kesakitan tentera Abrahah itu sudah cukup untuk melambangkan betapa seksanya mereka. Selain itu, penggunaan bahasa di dalam teater ini juga sangat baik dan sangat berkesan, lebih-lebih lagi ketika Maisarah menceritakan tentang perihal Rasulullah S.A.W. Keterangan yang diberikan oleh Maisarah sudah cukup untuk membuatkan audiens terpukau akan kemuliaan dan kehebatan baginda. Akhir sekali semestinya ketika setiap detik pertempuran di dalam teater ini. Ramai yang berpendapat, termasuk tenaga kerja teater itu sendiri, bahawa malam yang saya pilih untuk menonton teater tersebut mempunyai babak pertarungan yang sangat menarik sekali ; walaupun sebenarnya masih mempunyai sedikit kesilapan dalam pergerakan pertarungan tersebut.

Sekarang saya akan menyentuh tentang satu-satunya aspek yang kurang saya sukai di dalam pementasan ini. Aspek tersebut merupakan babak pembukaan teater ini, di mana Asmaul Husna dialunkan dengan iringan tarian. Saya masih tertanya-tanya; apakah signifikannya meletakkan elemen tarian ketika Asmaul Husna sedang berkumandang? Mungkin saya dapat memahami signifikasi elemen tarian yang diletakkan ketika Rasulullah S.A.W. bertapa di Gua Hira’. Adakah tarian ini sebenarnya hanya diletakkan sekadar untuk melengkapkan sedikit elemen muzikal yang ditonjolkan? Jawapannya, hanya tuan pengarahnya sahaja yang tahu. Atau pun mungkin tiada jawapan bagi persoalan yang diberikan kerana teater ini kelihatan seperti berada dalam aliran eksperimental. Setakat ini, inilah satu-satunya aspek yang kurang menyenangkan saya ketika menonton pementasan ini.

Tuntasnya, saya tidak boleh memberikan ulasan dan komen yang banyak, memandangkan teater ini merupakan teater pertama yang saya tonton. Jadi, saranan saya di sini sangat mudah; pementasan ini memang baik, namun jika diperhalusi lagi cara penyampaiannya, teater ini pasti akan menjadi pengubat rindu kita kepada baginda Rasulullah S.A.W. Akhir kata, syabas buat semua yang telah terlibat dalam produksi teater ini. Semoga usaha kalian semua dalam mengingati usaha-usaha Rasulullah akan sentiasa diberkati Allah S.W.T., Insya-Allah.

Sekian.

No comments: